Malaysian university students collaborating on a learning project with guidance from a mentor

Belanjawan 2027: Melabur dalam Generasi Muda Malaysia, dari Bilik Darjah ke Alam Kerjaya

Oleh Dr Jagdeep Singh Jassel, Naib Canselor dan Ketua Eksekutif, Kolej Universiti UNITAR Kuala Lumpur

Table of Contents

Dalam ucapan beliau baru-baru ini di Forum Ekonomi Belia, tumpuan Perdana Menteri terhadap golongan muda, khususnya mahasiswa yang berdepan kelaparan dan kesempitan kewangan, amat dialu-alukan. Pelajar yang menghadapi kesukaran kewangan sehingga tidak mampu memenuhi keperluan asas berdepan pelbagai halangan untuk menamatkan pengajian. Lebih menyedihkan, ada yang mungkin terpaksa memendam impian mereka. Oleh itu, bantuan kewangan daripada kerajaan, universiti dan sektor swasta boleh menjadi faktor penentu kejayaan pelajar ini, keluarga mereka dan akhirnya masyarakat.

Sebagai pemimpin universiti, saya menaruh harapan terhadap Belanjawan 2027 yang bakal dibentangkan, khususnya dalam menyokong pelajar Malaysia. Saya percaya kita mempunyai tanggungjawab untuk membentuk tenaga kerja masa hadapan dengan sokongan menyeluruh daripada ekosistem kesuluruhan yang terdiri daripada sektor pendidikan, majikan serta kerajaan.

Peranan universiti melangkaui penganugerahan kelayakan akademik. Kita mahu melahirkan graduan yang mampu berkomunikasi dengan yakin, bekerjasama dengan baik dan membuat pertimbangan yang matang. Pengetahuan mereka perlu disertai integriti, empati dan sikap saling menghormati, khususnya ketika teknologi mengubah cara kita menjalani kehidupan dan bekerja.

Asasnya bermula di sekolah. Pelajar di sekolah memerlukan tunjuk ajar untuk membina kemahiran interpersonal dan nilai murni dalam persekitaran yang kondusif untuk kesejahteraan mental mereka. Kerjasama yang semakin erat antara Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan dalam menangani kesihatan mental di sekolah merupakan perkembangan yang menggalakkan. Kami berharap Belanjawan 2027 dapat memperkukuh usaha ini melalui sumber kaunseling yang mencukupi serta saluran yang jelas untuk mendapatkan sokongan kesihatan mental profesional di sekolah.

Guru memainkan peranan utama. Pada peringkat akar umbi, guru membina asas perkembangan pelajar, sekali gus membentuk pemimpin dan individu yang mampu membawa perubahan. Oleh itu, guru memerlukan latihan profesional yang berterusan serta sumber untuk menyokong pelajar yang mempunyai keperluan pembelajaran dan emosi yang berbeza di kalangan mereka. Guru yang dapat mengenal pasti kesukaran sejak awal dan membantu kanak-kanak mendapatkan sokongan yang diperlukan akan memperkukuh asas yang kelak menjadi sandaran kepada universiti dan majikan.

Di universiti, pembelajaran mesti berkait rapat dengan keperluan dunia pekerjaan. Kita perlu menyokong lebih banyak projek yang dirangka bersama majikan serta penempatan latihan industri yang bermakna. Pengalaman ini membantu pelajar memahami jangkaan majikan dan membina keyakinan sebelum memulakan pekerjaan pertama. Penempatan latihan industri memerlukan penyeliaan yang sewajarnya, hasil pembelajaran yang jelas dan bantuan kewangan. Dengan itu, peluang penyertaan tidak bergantung pada pendapatan keluarga dan turut terbuka kepada pelajar daripada golongan B40.

Literasi digital dan kecerdasan buatan (AI) perlu dapat diakses oleh pelajar dalam setiap bidang pengajian. Semua graduan mesti memahami cara menggunakan teknologi ini secara bertanggungjawab dan beretika, menilai secara kritis hasil yang dijana serta menggunakannya dengan pertimbangan profesional, sejak di bangku pengajian hingga memasuki alam pekerjaan.

Kebolehpasaran graduan yang tinggi menjadi asas kepada kejayaan kerjaya jangka panjang. Berlandaskan pencapaian ini, usaha menjejaki bagaimana graduan menggunakan kemahiran mereka, mencapai kemajuan dalam kerjaya dan pendapatan serta meneruskan pembelajaran akan membantu universiti dan majikan memperkukuh laluan ke arah pekerjaan yang bermakna dan pembangunan profesional yang berterusan.

Pembiayaan penyelidikan yang berterusan juga perlu menjadi sebahagian daripada pelaburan ini. Pembiayaan tersebut membangunkan bakat pada peringkat pascasiswazah dan membolehkan universiti bekerjasama dengan industri serta kerajaan untuk menangani permasalahan di Malaysia. Penekanan kerajaan terhadap pengkomersialan hasil penyelidikan amat dialu-alukan. Usaha ini memerlukan sokongan yang membolehkan idea berpotensi melalui proses pengujian, pembangunan dan aplikasi dalam dunia sebenar.

Keutamaan ini menyokong matlamat kesejahteraan dan mobiliti sosial dalam Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13). Belanjawan 2027 dapat menghubungkan aspirasi tersebut dengan melabur dalam golongan muda pada setiap peringkat perkembangan mereka.

Sumber: Risalah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (Bahasa Inggeris)

Mengenai Penulis:

Dr Jagdeep Singh Jassel ialah Naib Canselor dan Ketua Eksekutif Kolej Universiti UNITAR Kuala Lumpur. Kerjaya beliau merangkumi bidang sumber manusia, hospitaliti, pembuatan dan pendidikan tinggi, termasuk peranan kepimpinan di Malaysia dan luar negara. Beliau memperjuangkan peningkatan mutu tenaga kerja Malaysia melalui pendidikan tinggi serta kerjasama dengan pihak berkepentingan utama, iaitu sekolah, majikan dan kerajaan.

Kontak Media

Josephine Dionisappu, Ketua Komunikasi Korporat, Kumpulan Pendidikan UNITAR, ym.ratinuobfsctd-988990@uppasinoid.enihpesoj.

Refresh_font_awesome

Download Brochure