selangor fashion week

UNITAR dan Miss Malaysia Kebaya Jalin Kerjasama Strategik bagi Memperkasa Bakat Kreatif dan Mengangkat Warisan Malaysia

KELANA JAYA, Selangor 12 Ogos – Universiti Antarabangsa UNITAR telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Miss Malaysia Kebaya (MMK) Marketing, menandakan permulaan kerjasama strategik yang bertujuan memperkasa bakat kreatif masa depan, meningkatkan kebolehpasaran graduan serta mempromosikan kekayaan warisan budaya Malaysia di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Table of Contents

Kerjasama ini menghimpunkan dunia akademia dan industri bagi mewujudkan peluang bermakna kepada pelajar melalui pembelajaran berasaskan pengalaman, penglibatan industri, jaringan profesional, latihan industri, program kesukarelawanan, bengkel, kelas pakar, inisiatif penyelidikan serta program pembangunan bakat.

Kolaborasi ini turut menyokong aspirasi Malaysia dalam bidang budaya dan pelancongan, termasuk kempen Tahun Melawat Malaysia 2026, dengan mengangkat warisan, budaya, fesyen, pelancongan serta ekonomi kreatif negara yang semakin berkembang.

Menerusi kerjasama ini, pensyarah dan pelajar akan digalakkan untuk menyertai program kebangsaan dan antarabangsa anjuran MMK, pertunjukan fesyen, program pertukaran budaya, inisiatif pelancongan, platform jaringan perniagaan serta projek kolaboratif melibatkan bidang fesyen, kecantikan, media digital, kecerdasan buatan (AI), pelancongan, perniagaan dan disiplin kreatif lain.

Profesor Emeritus Tan Sri Dato’ Sri Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar, Naib Canselor Universiti Antarabangsa UNITAR  berkata kerjasama ini mencerminkan komitmen UNITAR dalam melahirkan graduan yang versatil, bersedia untuk industri dan mampu bersaing di peringkat global.

“Di UNITAR, kami komited untuk memastikan pelajar memperoleh pendedahan industri yang signifikan dan melangkaui pengalaman pembelajaran di bilik kuliah. Melalui kerjasama dengan Miss Malaysia Kebaya, pelajar berpeluang untuk terlibat secara langsung dalam ekosistem fesyen, pelancongan, budaya, media digital dan pengurusan acara, sambil menyokong agenda nasional seperti Tahun Melawat Malaysia 2026. Pengalaman dunia sebenar ini bukan sahaja memperkaya pembelajaran mereka, malah membentuk graduan yang lebih berdaya saing, bersedia untuk industri dan mampu menyumbang kepada ekonomi kreatif negara.”

Beliau turut menambah bahawa kerjasama ini memperkukuhkan usaha UNITAR dalam menyediakan pendidikan yang sejajar dengan keperluan industri dan aspirasi negara.

“Kerjasama ini mencerminkan komitmen UNITAR dalam menyampaikan pendidikan yang relevan, berorientasikan industri dan berimpak tinggi. Dengan membuka ruang kepada pelajar untuk terlibat dalam inisiatif berkaitan pelancongan budaya, promosi warisan, pertunjukan fesyen serta platform berprestij seperti Selangor Fashion Week dan Tahun Melawat Malaysia 2026, kami menyediakan pengalaman pembelajaran autentik yang membolehkan mereka membina kemahiran praktikal, memperluas jaringan profesional dan meningkatkan kebolehpasaran graduan dalam sektor-sektor yang semakin berkembang pesat.”

Menurut beliau lagi, kerjasama ini juga memainkan peranan penting dalam usaha pembangunan negara melalui pemerkasaan bakat kreatif dan pemeliharaan warisan budaya.

“Apa yang menjadikan kerjasama ini begitu signifikan adalah keupayaannya menggabungkan elemen kebolehpasaran, inovasi, kreatif dan budaya . Dengan menghubungkan pelajar kami dengan pihak industri, pemimpin kreatif, pemain sektor pelancongan dan duta budaya, kami bukan sahaja memperkayakan pengalaman pembelajaran mereka, malah mereka dapat memainkan peranan yang aktif dalam memelihara dan mempromosikan warisan Malaysia, sambil membangunkan kemahiran, keyakinan dan pemahaman industri yang diperlukan untuk berjaya di peringkat nasional dan global.”

MoU ini turut meneroka penganjuran persidangan bersama, pameran, kolaborasi penyelidikan, program pertukaran budaya dan pelbagai inisiatif antarabangsa yang akan memberi manfaat kepada pelajar, ahli akademik, rakan industri dan masyarakat secara keseluruhan.

Dr Jason Hee Jee Pin, Pengasas dan Presiden Miss Malaysia Kebaya, menyambut baik kerjasama tersebut dan menyatakan keyakinan bahawa ia bakal membuka peluang berharga kepada generasi baharu profesional kreatif negara.

Melalui kerjasama ini, kedua-dua organisasi berhasrat membina perkongsian lestari yang memperkukuh hubungan antara akademia, industri dan agensi kerajaan, membangunkan bakat kreatif masa depan serta menyumbang kepada kedudukan Malaysia sebagai destinasi utama warisan, budaya, fesyen dan pelancongan.

Mengenai UNITAR Education Group

UNITAR Education Group akan menyambut ulang tahun ke-35 pada tahun 2026, meraikan legasi dalam memperluaskan akses kepada pendidikan berkualiti, memperkasa pelajar daripada pelbagai latar belakang serta melahirkan graduan yang bersedia untuk industri dan masa hadapan di Malaysia serta di peringkat antarabangsa.

Selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG), UNITAR terus menyampaikan pendidikan yang mudah diakses, relevan dan holistik, sekali gus melengkapkan pelajar daripada pelbagai lapisan masyarakat dengan kemahiran, minda dan peluang yang diperlukan untuk berjaya dalam landskap global yang sentiasa berubah.

Mengenai Miss Malaysia Kebaya (MMK)

Miss Malaysia Kebaya merupakan platform yang didedikasikan untuk meraikan serta mempromosikan warisan, budaya, fesyen, pelancongan dan pemerkasaan wanita Malaysia melalui program kebangsaan dan antarabangsa, pertukaran budaya, inisiatif advokasi serta aktiviti libat urus komuniti.

Kontak Media: Josephine Dionisappu, Ketua Komunikasi Korporat, Kumpulan Pendidikan UNITAR, ym.ratinuobfsctd-752ce3@uppasinoid.enihpesoj

Refresh_font_awesome

Download Brochure