bank islam

UNITAR perkasa pemimpin Bank Islam untuk menerajui perubahan dan memperkukuh pasukan menerusi program 15 bulan

Seramai 12 pemimpin Bank Islam telah menamatkan program pembangunan kepimpinan selama 15 bulan yang ditawarkan oleh UNITAR, bagi memperkukuh keupayaan mengurus perubahan, membina hubungan dengan pihak berkepentingan dan memimpin pasukan dalam persekitaran kerja yang semakin dipengaruhi kecerdasan buatan (AI).

Table of Contents

Program Pembangunan Bakat Dipercepat UNITAR x INSEAD (Kepimpinan Berimpak Tinggi) merangkumi 11 sesi, dengan modul bersemuka dilaksanakan antara April 2025 hingga Julai 2026. Program ini menggabungkan pembangunan kepimpinan dan bimbingan eksekutif secara berkumpulan dengan program Pengalaman Kepimpinan INSEAD selama dua hari di Singapura.

Peserta mewakili pelbagai fungsi, termasuk perbankan runcit, pengurusan kredit, pematuhan, pengurusan risiko, sumber manusia, undang-undang dan kesetiausahaan serta operasi. Mereka terdiri daripada pengurus kanan, ketua fungsi dan seorang naib presiden kanan, sekali gus membawa perspektif organisasi yang berbeza dalam proses pembelajaran.

Majlis penutup dan penyampaian sijil kepada peserta telah diadakan pada 22 Oktober di UNITAR International University. Majlis turut menampilkan sesi perkongsian oleh pembimbing program, manakala peserta berkongsi pengajaran yang diperoleh serta penerapannya di tempat kerja.

Ketua Pegawai Komersial UNITAR Education Group, Timothy Johnson, berkata pembangunan profesional berterusan kekal penting bagi pemimpin berpengalaman seiring perubahan tanggungjawab dan tuntutan dunia pekerjaan.

“Meluangkan masa untuk mengikuti program selama 15 bulan sambil menjalankan tanggungjawab kepimpinan yang mencabar memerlukan komitmen yang tinggi. Saya memuji kesungguhan para peserta untuk terus membangunkan diri. Program ini memberi mereka ruang untuk menilai pendekatan kepimpinan masing-masing, belajar daripada rakan sekerja yang mewakili pelbagai fungsi dan meneroka pendekatan yang boleh diterapkan di tempat kerja. Kami berbangga dapat menyokong perjalanan pembangunan mereka,” katanya.

Profesor Sains Keputusan INSEAD, Profesor Anil Gaba, yang mewakili institusi rakan kerjasama dalam inisiatif ini, menekankan kepentingan menyediakan ruang untuk pemimpin berpengalaman membuat refleksi dan menimba ilmu.

“Pemimpin berpengalaman mendapat manfaat apabila diberi peluang untuk seketika beralih daripada tanggungjawab harian, menilai semula pendekatan yang biasa digunakan dan mempertimbangkan perspektif yang berbeza. Melalui program Pengalaman Kepimpinan INSEAD di Singapura, kami berbesar hati dapat menyumbang kepada pembangunan peserta. Kami mempersiapkan dan membekalkan mereka dengan pandangan baharu serta keyakinan yang lebih tinggi untuk kembali menjalankan tugas, mengharungi perubahan, membuat keputusan yang teliti dan membantu pasukan serta organisasi mereka berkembang,” katanya.

Program ini merangkumi pengurusan perubahan, impak sosial, pengurusan pihak berkepentingan dan pendekatan berteraskan pelanggan. Bimbingan eksekutif secara berkumpulan menggalakkan peserta meningkatkan kesedaran kendiri, membina hubungan dan memperkukuh keberkesanan kepimpinan mereka.

Sesi mengenai AI generatif meneroka implikasinya terhadap kepimpinan kanan, manakala penerapan nilai kerohanian dan keselamatan psikologi menekankan kepentingan integriti serta sikap menghormati orang lain. Perkongsian industri dan sesi jaringan turut membuka peluang untuk bertukar pandangan.

Naib Presiden Kanan, Perbankan Runcit Kumpulan, Bank Islam, Ahdan Shariff Bin Muhammad, yang merupakan peserta program, berkata beliau telah meluaskan pemahamannya tentang kepimpinan serta memperkukuh pendekatannya dalam membimbing pasukan menghadapi perubahan.

“Program ini memperkaya pengetahuan dan membuka perspektif baharu. Ia mengukuhkan kepentingan kepercayaan dan komunikasi, serta mengingatkan saya bahawa kepimpinan juga merangkumi usaha memberi inspirasi kepada orang lain, memperkasa pasukan dan membawa impak positif. Antara pengajaran yang sedang saya terapkan ialah penggunaan AI dalam tugasan harian, mewujudkan persekitaran kerja yang selamat untuk pasukan dan menambah baik cara saya mengurus hubungan dengan pihak berkepentingan,” katanya.

Seorang lagi peserta, Ketua Internet dan Mudah Alih, Operasi Kumpulan, Bank Islam, Nur Fathmawati Zakaria, menyifatkan program ini sebagai pengalaman pembelajaran yang bermakna dan memperkaya pengetahuan, serta mendorong beliau menilai pendekatan kepimpinan dan pembangunan dirinya.

“Program ini mencabar saya bukan sahaja sebagai pemimpin, tetapi juga sebagai individu. Ia mendorong saya meneliti tingkah laku, andaian, proses membuat keputusan dan cara saya mempengaruhi orang lain. Saya belajar bahawa kepimpinan bukan sekadar mencapai hasil, tetapi juga memahami pihak berkepentingan utama, ketua dan rakan sekerja, membina kepercayaan serta membantu orang lain mencapai kejayaan,” katanya.

Beliau mengenal pasti modul Optimising Results (Mengoptimumkan Hasil) dan Artificial Intelligence and the Future of Leadership (Kecerdasan Buatan dan Masa Depan Kepimpinan) sebagai modul yang memberikan impak paling besar kepadanya.

“Modul Optimising Results mengukuhkan kefahaman saya tentang kepentingan pencapaian yang konsisten, keselarasan dengan strategi dan kejelasan tujuan dalam membantu pasukan mencapai matlamat bersama. Modul kecerdasan buatan pula membantu saya mempelajari cara merangka arahan atau ‘prompt’ yang lebih berkesan,” tambahnya.

Pembimbing program, Faizah Bazid, memuji komitmen peserta sepanjang proses pembelajaran.

“Bimbingan eksekutif menggalakkan pemimpin menilai bagaimana nilai yang dipegang membentuk kepimpinan dan hubungan mereka dengan orang lain. Para peserta wajar diberi penghargaan atas ketekunan dan kesediaan mereka untuk terus berkembang.

“Saya berharap mereka terus menghargai ruang untuk berhenti seketika dan membuat refleksi, seperti yang digambarkan melalui ungkapan Itali ‘dolce far niente’, yang bermaksud ‘nikmat tidak melakukan apa-apa’. Begitu juga dengan kepentingan mengiktiraf orang lain agar mereka berasa dipedulikan dan dihargai. Dengan menerapkan pengajaran ini, mereka dapat membina hubungan yang lebih kukuh, menyokong pasukan dan meningkatkan kerjasama,” katanya.

Program ini menghubungkan refleksi kendiri dengan cabaran kepimpinan sebenar, sekali gus menggalakkan peserta menterjemahkan pembelajaran kepada penambahbaikan di tempat kerja dan pembentukan pasukan yang lebih kukuh. Pembelajaran bersama rakan sekerja daripada pelbagai fungsi turut memberi peluang untuk memahami keutamaan yang bersaing serta memperkukuh kerjasama merentas bank.

Bagi UNITAR, kerjasama ini mencerminkan komitmennya terhadap pendidikan yang menyokong pertumbuhan profesional pada setiap peringkat kerjaya. Dengan menghubungkan pembelajaran kepimpinan dengan tanggungjawab di tempat kerja, program ini menunjukkan bagaimana pembangunan berterusan dapat membantu golongan profesional berpengalaman kekal relevan dan menyumbang dengan lebih berkesan kepada organisasi masing-masing.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengarah Eksekutif, Pendidikan Profesional Berterusan, Kumpulan Pendidikan UNITAR, Dr Jagdeep Singh Jassel.

 

 

Mengenai Kumpulan Pendidikan UNITAR

UNITAR Education Group menyambut ulang tahun ke-35 pada tahun 2026, meraikan legasi dalam memperluas akses kepada pendidikan berkualiti, memperkasakan pelbagai golongan pelajar serta melahirkan graduan yang bersedia memenuhi keperluan industri dan berorientasikan masa hadapan di Malaysia dan luar negara.

Selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG), UNITAR terus memperjuangkan pendidikan yang mudah diakses, inklusif dan relevan. UNITAR memperlengkap pelajar daripada pelbagai latar belakang dengan pengetahuan, kemahiran, pola fikir dan peluang yang diperlukan untuk berkembang maju dalam dunia yang semakin saling berhubung dan berubah dengan pantas.

Kontak Media

Josephine Dionisappu: Ketua Komunikasi Korporat: Kumpulan Pendidikan UNITAR, ym.ratinuobfsctd-7521e9@uppasinoid.enihpesoj

Refresh_font_awesome

Download Brochure